PALONG - Seorang penerokawati terkedu apabila barang kemas dan duitnya
dikebas tiga individu menyamar sebagai jurujual ketika dia sedang solat
di rumahnya di Felda Palong 9 di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang, barangan berharga itu
dilarikan ketiga-tiga individu terbabit selepas meminta mangsa Miskiah
Busri, 54, menanggalkan seutas rantai leher untuk melakukan pemeriksaan
kesihatan secara percuma.
Miskiah berkata, sebelum kejadian dia yang hendak menunaikan solat asar
didatangi kesemua suspek termasuk dua wanita yang menawarkan
perkhidmatan menjual air dan membaik pulih alat penapis air.
“Dia orang datang nak jual barang tapi mak cik tolak, maklumlah manalah
mampu membayarnya. Kemudian mereka pujuk pula untuk buat periksa
kesihatan secara percuma.
“Tapi ada syarat, kenalah mak cik buka barang kemas sebab mereka kata
peralatannya sensitif dengan emas. Makcik tinggalkan rantai leher dan
letak atas meja solek di dalam bilik tidur sebelum meminta izin untuk
menunaikan solat," katanya.